Petaling Jaya: Tawaran hadiah cabutan nombor bertuah lumayan dijadikan umpan untuk menarik pelanggan golongan profesional mendapatkan layanan mesra pelayan wanita (GRO) warga asing di sebuah pusat hiburan di Terminal 5, Kelana Jaya, di sini, malam kelmarin.
Antaranya televisyen plasma sebagai hadiah utama kepada pelanggan bertuah dan tip kalung bunga serendah RM50 kepada GRO.
Bagaimanapun, kehadiran tiga pegawai dan 10 anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya diketuai Asisten Superintendan Mohd Nazri Daud mengejutkan pelanggan yang asyik dengan godaan serta layanan mesra GRO terbabit.
Malah, cubaan seorang GRO menyembunyikan diri hampir sejam di bawah kerusi gagal apabila dia berjaya dikesan.
Dalam serbuan jam 11.30 malam, polis menahan 19 wanita dan seorang pondan berusia antara 21 hingga 32 tahun dari Filipina dan Thailand.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan dilakukan hasil risikan polis selama dua hari selepas mendapat aduan mengenai kegiatan tidak bermoral itu.
ANTARA GRO warga asing yang ditahan dalam serbuan.
Katanya, ketika serbuan dilakukan, GRO terbabit menghidangkan minuman serta menghiburkan pelanggan dengan nyanyian.
“Pemeriksaan mendapati GRO terbabit menggunakan pas lawatan sosial, manakala 68 pelanggan, termasuk lima wanita tempatan, turut diperiksa.
“Hasil siasatan polis mendapati pemilik premis menawarkan televisyen plasma sebagai hadiah utama kepada pelanggan bertuah dan tip kalung bunga serendah RM50 kepada GRO,” katanya.
Arjunaidi berkata, premis yang mempunyai lesen perniagaan sah itu diserbu dua kali sejak awal tahun ini.
Katanya, polis turut menahan seorang wanita warga tempatan berusia 30-an, dipercayai pemilik premis, untuk siasatan lanjut.
“Polis percaya GRO berkenaan dihantar dan diambil ejen masing-masing setiap hari dan mereka juga membuat temu janji persendirian dengan pelanggan,” katanya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar