Nor Juliana Suhaila Sudirman (tiga dari kiri) bersama kereta Proton
Preve yang dimenanginya pada Program Pemacuan i-Think di Kuala Lumpur,
semalam. Turut hadir, bapanya, Sudirman Mat Toufik (dua dari kiri),
ibunya, Sarmila Saparuddin (kanan) dan adiknya, Nur Anisa Suhaila.
KUALA LUMPUR 7 Ogos - Seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK)
Sungai Lui, Hulu Langat, Nor Juliana Suhaila Sudirman, 11, dipilih
sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah kereta Proton
Preve pada majlis kemuncak Program Pemacuan i-Think.
Menurut Nor Juliana Suhaila, dia tidak menyangka memperoleh hadiah yang begitu bermakna dan besar nilainya.
"Saya juga berpuas hati dapat mempelajari tentang lapan 'Peta Minda'
i-Think yang sangat berguna dalam kemahiran berfikir tahap tinggi.
"Peta minda tersebut amat berfaedah dan dapat digunakan dalam
pembelajarannya serta persediaan untuk menghadapi Ujian Pencapaian
Sekolah Rendah (UPSR) tahun depan,'' katanya selepas menerima replika
kunci Proton Preve daripada Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Inovasi
Malaysia (AIM), Mark Rozario pada majlis penghargaan majlis i-Think, di
sini hari ini.
Program Pemacuan i-Think yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak pada 13 Mac lalu merupakan projek bersama
Kementerian Pendidikan dan AIM.
Sebanyak 10 sekolah menjalankan projek perintis di bawah kendalian Unit
Inovasi Khas (Unik) dan AIM. Kerajaan menyasarkan 1,000 lagi sekolah
akan menerapkan sistem i-Think ini pada tahun depan manakala semua
sekolah menjelang 2014.
Selain Nor Juliana Suhaila, pelajar tahun lima dari SK Seksyen 18, Shah
Alam, Siti Nurhajar Mohd. Shukri dan guru SK Batu 9, Cheras, Suzilina
Mohd. Sarom turut memenangi seunit iPad.
Ketiga-tiga pemenang tersebut adalah antara 140,000 pelajar daripada 390
buah sekolah dan 2,000 pengunjung komuniti berhampiran yang telah
menghadiri program tersebut yang diadakan di 12 buah sekolah sejak Jun
lalu.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif, Eko-Sistem Pendidikan AIM, Eddie
Razak berkata, program itu merupakan satu inisiatif untuk
memperkenalkan kaedah dan metodologi berfikir dalam kalangan pelajar
sekolah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar